Wednesday, October 27, 2010

AKU DAN PENGURUSAN BERAT BADAN

Aku dikategorikan sebagai kurus atau mempunyai berat badan yang kurang. Cari punya cari aku akhirnya menemui beberapa tips untuk menambahkan berat badan. Walaupun begitu kita perlu ketahui dahulu tentang beberapa hal mengenai berat badan seperti:

Bagaimana mengetahui status berat badan saya?

Anda boleh menilai status berat badan dengan pengiraan Indeks Jisim Tubuh (IJT). Indeks Jisim Tubuh menentukan samada anda mempunyai risiko yang tinggi atau rendah dalam mengalami masalah kesihatan. IJT adalah formula untuk menilai berat badan berbanding dengan ketinggian anda. Ia di kira menggunakan formula seperti berikut

IJT = Berat ( kilogram )
--- ________________________
Tinggi (meter) x Tinggi ( meter )

Jika IJT anda (kg/m2) adalah : Anda adalah
< 18.5 Kekurangan berat badan
18.5 - 24.9 Normal
25 - 30 Berlebihan berat badan
30 atau lebih Obes

Apa itu berat badan yang sihat?
Jika nilai IJT anda adalah diantara 18.5 sehingga kurang daripada 25, maka berat badan anda adalah normal. Contoh , seorang perempuan dengan ketinggian 1.5 meter dan berat badan 53 kg akan mempunyai IJT :
53/(1.5 x 1.5) = 23.5 kg/m2
( berat badan normal)

Mengapa penting untuk mengekalkan berat badan yang sihat?

Berat badan mempunyai pengaruh yang besar ke atas kesihatan sepanjang hayat. Mengekalkan berat badan yang sihat boleh mengurangkan risiko pelbagai komplikasi kesihatan. Individu yang mempunyai berat badan berlebihan dan obes berisiko tinggi mendapat penyakit seperti, darah tinggi, sakit jantung, penyakit pundi hempedu dan osteoarthritis. Obesiti juga meningkatkan risiko bagi sesetengah jenis kanser seperti kanser kolon, rektum, prostat, pundi hempedu, serviks, endometrium dan ovari. Obesiti turut memberi kesan kepada pergerakan , ketahanan fizikal dan fungsi fizikal yang lain.

Mereka yang obes juga mungkin mempunyai kurang yakin terhadap diri sendiri.

Bagaimana saya boleh mengekalkan berat badan yang sihat?
Tip yang sihat dan praktikal untuk mengekalkan berat badan sihat :
1. Kekalkan berat badan dalam julat antara 18.5 kg/m2 dan 24.9 kg/m2.
2. Rancang diet sihat yang mengandungi pelbagai jenis makanan berdasarkan
Piramid Makanan Malaysia.
3. Kekal aktif setiap hari. Mereka yang sentiasa aktif akan berjaya mengekalkan berat badan. Cara hidup yang aktif akan memberi banyak kebaikan di dalam pengurusan berat badan, jantung yang sihat, tulang yang kuat dan mengurangkan stres. Untuk pengurusan berat badan, anda digalakkan untuk melakukan aktiviti fizikal secara sederhana selama 30 minit sehari (4 – 5 kali sehari). Jangkamasa yang pendek dibenarkan tetapi sekurang-kurangnya 30 minit sehari.

Apa itu kurang berat badan?

Anda mengalami kurang berat badan jika IJT anda kurang daripada 18.5 kg/m2.
Apakah penyebab kurang berat badan?
Kurang berat badan adalah keadaan di mana pengambilan tenaga kurang daripada yang digunakan. Masalah lain yang menyebabkan kurang berat badan ialah :

• Kecelaruan pemakanan seperti Anoreksia Nervosa atau Bulimia
• Masalah perubatan yang lain

Bagaimana untuk menambah berat badan dengan cara yang sihat?

Tip yang sihat dan praktikal untuk menambah berat badan :

1. Rancang untuk menambah hidangan makanan.
Makan melebihi keperluan merupakan kunci untuk penambahan berat badan. Oleh itu, anda perlu menambah pengambilan makanan anda.

2. Bersnek secara bijak.

Bersnek secara bijak memainkan peranan utama dalam meningkatkan berat badan. Selain daripada menambah hidangan, ianya penting untuk meningkatkan pengambilan tenaga. Pilih snek yang mengandungi kalori tambahan, vitamin dan mineral. Contohnya keju atau mentega kacang ditambahkan pada biskut kraker

3. Pilih makanan yang berkalori tinggi

Pilih makanan berkalori tinggi untuk menambah berat badan. Pilih makanan atau menu berdasarkan Piramid Makanan Malaysia and digalakkan untuk mengambil saiz hidangan tambahan. Bagi mereka yang mengalami kekurangan berat badan, digalakkan untuk makan walaupun mereka tidak lapar.

4. Elakkan melangkau waktu makan utama

Hidangan utama seperti sarapan, makan tengahari dan makan malam perlu diambil dan pengambilan snek sihat di antara waktu makan adalah digalakkan.

5. Bagaimana anda boleh mula?

Mulakan dengan memilih makanan berkalori tinggi daripada setiap kumpulan makanan berdasarkan Piramid Makanan Malaysia. Ianya termasuk lemak, minyak dan gula dalam kadar yang sederhana. Sasarkan pengambilan makanan berdasarkan bilangan hidangan yang maksimum bagi setiap kumpulan makanan tersebut. Penambahan kalori berlebihan secara kreatif di dalam hidangan pada setiap hari akan memberi keseronokan semasa menikmati hidangan. Contoh : pemilihan minuman berkalori tinggi, penambahan keju dan sos di dalam sandwic.

6. Sasarkan kenaikan berat badan secara beransur

7. Semak keperluan tenaga harian untuk mengetahui berapa tenaga yang
diperlukan untuk meningkatkan berat badan.

Mudah-mudahan lepas ni aku dapat menambahkan sedikit berat badan ku..he..he

Tuesday, October 26, 2010

Anak-anakku sayang

Hari ini Haikal ada exam akhir tahun. Sebagai mummynya aku berharap agar dia sentiasa mendapat yang terbaik dalam hidupnya..Haikal anak yang sangat baik, penyayang, manja dan mendengar kata. Tidak susah aku menjaganya. Hani juga begitu walaupun baharu berumur 2 tahun tapi dia sangat bijak. Aku mendidik mereka dengan penuh kasih sayang tanpa kekasaran. Cuma kadang2 bila mereka terlebih nakal baharulah aku sedikit meninggikan suara. Tapi Alhamdulillah..mereka mendengar kata dan sentiasa membahagiakan hidup aku dan suami...Buat anakku sayang Ikmal Haikal..Mummy sayang anak mummy..dan untuk baby Hani mummy sayang Hani juga. Mudah-mudahan kedua2 anak mummy akan menjadi orang yang bertaqwa dan bijaksana. Berjaya di dunia dan akhirat..

Tuesday, September 28, 2010

Amalan sunat lahirkan anak cemerlang

Mereka yang berkahwin ingin mendapat cahaya mata sempurna.Anak itu apabila dewasa kelak diharapkan menjadi insan berguna kepada agama,bangsa dan Negara.Oleh itu, anak sebagai anugerah Allah kepada pasangan suami isteri hendaklah diberikan perhatian dan kasih sayang serta bimbingan sewajarnya.

Anak juga satu amanah dan ujian daripada Allah kepada mereka yang dikurniakan harta benda atau anak. Allah akan menyediakan pahala besar kepada orang yang mematuhi perintah-NYA dan mengutamakan lebih daripada harta benda dan anak yang dikasihi itu. Hal ini seperti firman-NYA bermaksud:”Kekayaan harta benda dan anak-pinak itu adalah perhiasan hidup di dunia.”(Surah Al-Kahfi,ayat 46)

Firman ALLAH lagi bermaksud:” Dan DIAlah yang menjadikan kamu khalifah di bumi dan meninggikan sesetengah kamu atas sesetengahnya yang lain beberapa darjat,kerana ALLAH hendak menguji kamu pada apa yang telah dikurniakan-NYA kepada kamu.”(Surah Al-Anam,ayat 165).

Bagaimanapun, janganlah dijadikan harta kekayaan dan anak itu untuk kesenangan dan perhiasan dunia semata-mata.Kita hendaklah berjaga-jaga dan menjadikannya sebagai jalan bagi menerbitkan amal soleh yang kekal faedahnya.Ia untuk kesenangan dan kebahagian di dunia dan akhirat.

Bagaimana hendak mendapatkan anak soleh serta cemerlang di dunia dan akhirat.Islam ada menunjukkan caranya sejak dari ibu itu mengandungkan anaknya.

Ketika mengandung ,ibu banyak mengalami perubahan emosi dan fizikal.Oleh itu,banyak amalan sunat yang boleh dilakukan ketika mengandung.

Anak itu mesti di tarbiah sejak masih janin atau dalam kandungan.Tingkah laku ibu bapa yang baik ketika hamil adalah pendidikan awal kepada anaknya.

Antara amalan yang sunnah ketika hamil adalah memperbanyakkan membaca ayat Al-Quran dan berdoa.Hal ini seperti diriwayatkan Ibnu Sunni daripada Fatimah yang maksudnya:”Sesungguhnya Rasullullah saw apabila (Fatimah)hampir melahirkan,memerintahkan Ummu Salamah dan Zainab binti Jahsyin menghampiri Fatimah.Maka Baginda membaca ayat al-Kursi dan surah al-‘Araf(ayat 54) di sisi Fatimah dan memohon perlindungan kepada Allah dengan membaca surah Al-Falaq dan An-Nas”.

Doa yang sunat dibaca ketika hamil termasuk doa Nabi Yunus yang tafsirnya:”Sesungguhnya tiada Tuhan(yang dapat menolong)melainkan engkau YA ALLAH.Maha Suci engkau(daripada melakukan anianya,tolonglah aku!)Sesungguhnya aku adalah daripada orang yang menganiaya diri sendiri.”(surah al-Anbiya’,ayat 87)

Bagi ibu yang sukar bersalin,Ibnu Abbas meriwayatkan Rasullullah bersabda bermaksud:”Apabila seseorang perempuan itu sukar bersalin,tuliskan dalam bekas surah al-Ahqab(ayat 35) dan surah al-Nazi’at (ayat 46),kemudian air itu disapukan di perut dan kemaluannya.:(Hadis riwayat Ibnu Sunni)

Islam juga menggariskan cara yang sebaik-baiknya menyambut kelahiran anak.Antaranya memberikan ucapan tahniah dan gembira di atas kelahiran anak itu,menyerukan azan dan iqamah,mencukur rambut,memberi nama dan melakukan akikah.

Seseorang perempuan yang selesai melahirkan anak mempunyai kewajipan tertentu iaitu mandi kerana nifas.

Ulamak berijmak mengatakan bahawa wajib mandi dengan sebab keluar darah nifas.Termasuk dalam perkara yang mewajibkan mandi adalah wiladah iaitu mandi kerana beranak sekalipun melahirkan tanpa basah(darah).

Begitu juga bagi perempuan yang mengalami keguguran anak,tidak terkecuali daripada kewajipan mandi, sama ada keguguran itu berupa darah beku(‘alaqah) atau hanya berbentuk seketul daging (mudhghah).

Bagi sebilangan perempuan yang terpaksa menjalani pembedahan perut untuk mengeluarkan anak ,maka dikategorikan hal yang sedemikian itu sebagai wiladah.Maka wajib ke atas perempuan itu mandi.

Perlu diingat.mandi kerana beranak dan mandi kerana nifas mempunyai perbezaan.

Bagi mengelak kekeliruan,maka darah nifas adalah darah yang keluar dari rahim perempuan selepas melahirkan anak sekalipun hanya setitik.Bermulanya darah nifas itu keluar sebelum berlalu 15 hari setelah seseorang perempuan melahirkan anak.Jika darah itu tidak keluar melainkan selepas berlalu masa selama 15 hari atau lebih,maka darah yang keluar itu tidak dikatakan nifas.Ia adalah darah haid.Maka dalam hal ini perempuan itu diwajibkan mandi kerana nifas.

Mandi kerana wiladah adalah apabila seorang perempuan itu melahirkan anak atau mengalami keguguran anak sekalipun hanya ‘alaqah atau hanya mudhghah.Maka wajib bagi perempuan itu mandi kerana wiladah selepas kelahiran atau keguguran seperti yang disebutkan di atas.

Maka apabila seorang perempuan melahirkan anak,dia wajib mandi kerana wiladah.Wajib juga ke atasnya mandi nifas selepas berhenti darahnya atau habis tempoh masa yang sederhana iaitu 40 hari 40 malam atau masa paling maksimum selama 60 hari 60 malam.

Pintu yang digunakan syaitan mengikut Iman Al-Syafie

Pintu yang digunakan syaitan mengikut Iman Al-Syafie

• Perasaan marah

• Nafsu syahwat

• Perasaan tamak dan dengki

• Kenyang

• Cinta kepada perhiasan dan harta benda

• Bergantung kepada manusia

• Gopoh gapah dan terburu nafsu

• Cinta kepada wang ringgit dan emas

• Kedekut dan bakhil

• Fanatik mazhab dan kelompok

• Berfikir berkenaan zat,sifat dan af’al atau perbuatan Allah tanpa ilmu

• Mudah berburuk sangka terhadap orang Islam.

TIGA TANDA ORANG BERHASAD DENGKI

Luqman Al-Hakim ada memberi nasihat panjang Luqman anaknya yang diriwayatkan oleh Al-Muharbi,daripada Sufyan Ats-Thaury.Antara kata-kata hikmahnya adalah:

“Hai anakku!Janganlah engkau letakkan kebaikanmu itu, kecuali di sisi penjaganya.Hal ini seperti tidak ada persahabatan antara kambing biri-biri dan serigala. Begitu jugalah tidak ada persahabatan antara orang yang baik dan yang jahat.”

“Hai anakku!Jadilah engkau hamba kepada orang yang baik dan janganlah engkau jadi sahabat kepada orang yang jahat.”

“Hai anakku!Jadilah engkau orang kaya,nescaya engkau menjadi orang yang dipercayai.”

“Hai anakku!Janganlah engkau meminta sesuatu perkara dari belakang dan janganlah engkau menolaknya dari depan.Hal ini kerana yang demikian itu akan memperlekehkan pandangan dan mencela akal fikiranmu.”

“Hai anakku!Sekiranya engkau beradab walaupun sedikit,engkau akan peroleh faedah yang banyak.”

“Hai anakku!Lakukanlah kebaikan itu untuk ahlinya dan janganlah engkau meletakkannya pada yang bukan ahlinya,nescaya engkau akan rugi di dunia ini dan mengharamkan pahalanya di akhirat kelak.”

“Jadilah engkau orang yang bersederhana dan janganlah boros.Juga janganlah engkau memegang harta dengan kedekut dan janganlah memberinya dengan boros”

“Hai anakku!Lazimilah dirimu dengan hikmah,nescaya engkau akan memuliakan dengannya kerana tuan bagi akhlak hikmah adalah agama ALLAH”

Luqman berkata lagi:

“Hai anakku!Ada tiga tanda bagi orang yang berhasad dengki itu.Dia akan mengumpat sahabatnya apabila kawannya tiada,akan memujuk apabila dia melihat dan akan bergembira dengan musibah yang menimpa sahabatnya.”

Beliau juga berpesan:

“Hai anakku!Barang siapa yang memikul sesuatu yang dia tidak terdaya,dia akan menjadi lemah dan barang siapa yang berasa kagum dengan dirinya sendiri akan binasa.Dan barang siapa yang bersikap takbur serta menyombong diri terhadap manusia akan menjadi hina”

Seterusnya katanya:

“Hai anakku!Janganlah engkau bergaul dengan orang yang bodoh.Walaupun dia memiliki rupa yang iondah,namun dia seperti pedang,baik pemandangannya tetapi amat buruk kesannya.”

“Hai anakku!Berwaspadalah engkau dari sahabat yang jahat kerana sesungguhnya dia umpama pedang yang dihunuskan (dari sarungnya).Pandangannya mengagumkanmu sedangkan kesannya amat buruk.”

Dalam kitab Bahjatul Majalis,Luqman berkata kepada anaknya:

“Hai anakku!Merendah dirilah engaku dengan kebenaran,nescaya engkau menjadi manusia yang paling berakal.”

“Hai anakku!Barang siapa yang terlalai dalam permusuhan, dia akan dimusuhi dan barang siapa yang melampau dalamnya,dia telah berdosa.Maka,berkatalah dengan yang hak walaupun ia terkena dirimu dan janganlah engkau peduli orang yang marah.”

“Hai anakku!Janganlah engkau bertengkar dengan orang yang bijaksana serta janganlah engkau bermujadalah dengan orang yang gagap.Juga janganlah engkau bergaul dengan orang yang zalim serta janganlah engkau bersahabat dengan orang yang tertuduh.”

Renungkanlah...

Belajar Redha

Belajar Redha Dengan Ketentuan Nya

Pernahkah kita suatu saat berdepan dengan tekanan dalam perkerjaan, mahupun hal2 peribadi kita seringkali mengeluh..dan memikirkan yang kita telah membuat pilihan yang salah dalam kehidupan? Kalaulah aku memilih B, tentu akan jadi begini..kalau aku berbuat begitu tentu begitu jadinya..Contohnya saya sendiri..pernah terbit di dalam hati suatu perasaan tidak gembira dengan pekerjaan saya sebagai penerbit. Jika diikutkan pekerjaan ini sangat tidak sesuai dengan jiwa saya sebagai seorang wanita yang sangat mementingkan suami dan anak2. Saya pernah mendapat tawaran memasuki Maktab Perguruan 15 tahun lalu tapi saya tolak semata-mata untuk meneruskan pelajaran dalam bidang komunikasi. Dan sekarang saya telah menjadi seorang penerbit rancangan. Walaupun berada di tempat yang saya suka, saya sentiasa terfikir bagaimana jika saya dinaikkan pangkat dan dihantar ke tempat yang tidak sesuai dengan keadaan jiwa saya yang sensitif dan sangat mementingkan keluarga ini. Saya telah berusaha memohon untuk bertukar jawatan yang lebih sesuai dengan jiwa tapi masih belum ada rezeki…Akhirnya saya mengambil keputusan untuk berbalik kepada Takdir dan Redha sahaja dengan ketentuannya….Saya beroleh ketenangan yang sangat luar biasa. Di sini saya ingin berkongsi sedikit bahan berguna yang boleh dijadikan panduan ketika kita ditimpa musibah dan merasa kita telah membuat pilihan yang salah.

Redha
Perintah redha menerima ketentuan nasib daripada Allah s.w.t. dijelaskan didalam hadis Baginda yang bermaksud :

" Dan jika sesuatu kesusahan mengenaimu janganlah engkau berkata : jika aku telah berbuat begini dan begitu, begini dan begitulah jadinya. Melainkan hendaklah kamu katakan : Allah telah mentaqdirkan dan apa yang ia suka , ia perbuat ! " Kerana sesungguhnya perkataan : andaikata... itu memberi peluang pada syaitan " . (Riwayat Muslim)

Sifat redha adalah daripada sifat makrifah dan mahabbah kepada Allah s.w.t.
Pengertian redha ialah menerima dengan rasa senang dengan apa yang diberikan oleh Allah s.w.t. baik berupa peraturan ( hukum ) mahupun qada' atau sesuatu ketentuan daripada Allah s.w.t.

Sikap redha dengan mengucapkan puji dan syukur kepada Allah s.w.t. Ketika mendapat kesenangan atau sesuatu yang tidak menyenangkan bersandar kepada dua pengertian :

Pertama : Bertitik tolak dari pengertian bahawa sesungguhnya Allah s.w.t. memastikan terjadinya hal itu sebagai yang layak bagi Dirinya kerana bagi Dialah sebaik-baik Pencipta. Dialah Yang Maha Bijaksana atas segala sesuatu.

Kedua : Bersandar kepada pengertian bahawa ketentuan dan pilihan Allah s.w.t. itulah yang paling baik , dibandingkan dengan pilihan dan kehendak peribadi yang berkaitan dengan diri sendiri.

Redha terhadap Allah s.w.t terbahagi kepada dua :
• Redha menerima peraturan ( hukum ) Allah s.w.t. yang dibebankan kepada
manusia.

• Redha menerima ketentuan Allah s.w.t. tentang nasib yang mengenai diri.

Redha Menerima hukum Allah s.w.t. :

Redha menerima hukum-hukum Allah s.w.t. adalah merupakan manifestasi daripada kesempurnaan iman, kemuliaan taqwa dan kepatuhan kepada Allah s.w.t. kerana menerima peraturan-peraturan itu dengan segala senang hati dan tidak merasa terpaksa atau dipaksa.

Merasa tunduk dan patuh dengan segala kelapangan dada bahkan dengan gembira dan senang menerima syariat yang digariskan oleh Allah s.w.t. dan Rasulnya adalah memancar dari mahabbah kerana cinta kepada Allah s.w.t. dan inilah tanda keimanan yang murni serta tulus ikhlas kepadaNya.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :
" Tetapi tidak ! Demi Tuhanmu, mereka tidak dipandang beriman hingga mereka menjadikanmu ( Muhammad ) hakim dalam apa yang mereka perselisihkan di antara mereka, kemudian mereka tidak merasa sempit dalam hati mereka tentang apa yang engkau putuskan serta mereka menyerah dengan bersungguh - sungguh ". ( Surah An-Nisaa' : Ayat 65 )

Dan firman Allah s.w.t yang bermaksud :
" Dan alangkah baiknya jika mereka redha dengan apa yang Allah dan Rasulnya berikan kepada mereka sambil mereka berkata : ' Cukuplah Allah bagi kami , Ia dan Rasulnya akan berikan pada kami kurnianya ,Sesungguhnya pada Allah kami menuju ".
( Surah At Taubah : Ayat 59 )

Pada dasarnya segala perintah-perintah Allah s.w.t. baik yang wajib mahupun yang Sunnah ,hendaklah dikerjakan dengan senang hati dan redha. Demikian juga dengan larangan-larangan Allah s.w.t. hendaklah dijauhi dengan lapang dada .
Itulah sifat redha dengan hukum-hukum Allah s.w.t. Redha itu bertentangan dengan sifat dan sikap orang-orang munafik atau kafir yang benci dan sempit dadanya menerima hukum-hukum Allah s.w.t.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :
" Yang demikian itu kerana sesungguhnya mereka ( yang munafik ) berkata kepada orang-orang yang di benci terhadap apa-apa yang diturunkan oleh Allah s.w.t. 'Kami akan tuntut kamu dalam sebahagian urusan kamu ',Tetapi Allah mengetahui rahsia mereka ". ( Surah Muhammad : Ayat 26 )

Andaikata mereka ikut beribadah, bersedekah atau mengerjakan sembahyang maka ibadah itu mereka melakukannya dengan tidak redha dan bersifat pura-pura. Demikianlah gambaran perbandingan antara hati yang penuh redha dan yang tidak redha menerima hukum Allah s.w.t. , yang mana hati yang redha itu adalah buah daripada kemurnian iman dan yang tidak redha itu adalah gejala nifaq.

Redha Dengan Qada' :

Redha dengan qada' iaitu merasa menerima ketentuan nasib yang telah ditentukan Allah s.w.t baik berupa nikmat mahupun berupa musibah ( malapetaka ). Didalam hadis diungkapkan bahawa di antara orang yang pertama memasuki syurga ialah mereka yang suka memuji Allah s.w.t. . iaitu mereka memuji Allah ( bertahmid ) baik dalam keadaan yang susah mahupun di dalam keadaan senang.

Diberitakan Rasulullah s.a.w. apabila memperolehi kegembiraan Baginda berkata :
" Segala puji bagi Allah yang dengan nikmatnya menjadi sempurnalah kebaikan ".

Dan apabila kedatangan perkara yang tidak menyenangkan , Baginda mengucapkan :
" Segala puji bagi Allah atas segala perkara ".

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :

" Demi Allah yang jiwaku ditangannya !Tidaklah Allah memutuskan sesuatu ketentuan bagi seorang mukmin melainkan mengandungi kebaikan baginya. Dan tiadalah kebaikan itu kecuali bagi mukmin . Jika ia memperolehi kegembiraan dia berterima kasih bererti kebaikan baginya , dan jika ia ditimpa kesulitan dia bersabar bererti kebaikan baginya ".
( Riwayat Muslim )

Belajarlah untuk ikhlas.

Sifat ikhlas ialah menumpukan niat bagi setiap ibadah atau kerja yang dilakukan semata-mata kerana Allah s.w.t. dan diqasadkan ( niat ) untuk menjunjung perintah semata-mata serta membersihkan hati dari dosa riya’ , ujub atau inginkan pujian manusia.

Firman Allah s.w.t. di dalam Al-Quran yang bermaksud :
“ Padahal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah s.w.t. dengan mengikhlaskan ibadah kepadanya , lagi tetap teguh di atas tauhid dan supaya mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat dan yang demikian itulah agama yang benar “.
( Surah Al-Bayyinah – Ayat 5 )

Setiap pekerjaan yang dilakukan hendaklah dibersihkan daripada sesuatu tujuan yang lain daripada taat kepada perintah Allah s.w.t. Hendaklah dibersihkan niat daripada sebab-sebab yang lain dari sifat-sifat yang keji ( sifat mazmumah ) seperti riya’ , ujub , inginkan kemasyhuran dan lain-lain lagi. Dalam meninggalkan larangan Allah s.w.t. hendaklah diniatkan untuk taat semata-mata bukan kerana malu kepada makhluk atau sebagainya. ( Rujukan Kitab - Mengenal Ilmu Tasawwuf – Mohd Sulaiman bin Hj. Yasin )

Semoga kita termasuk dalam golongan yang Redha dan bersyukur di atas apa yang telah ditakdirkan ke atas kita dan tidak lagi menyesali apa yang telah menjadi pilihan Allah kepada kita. Sesungguhnya..kita hanya merancang, jika Allah tidak mengizinkannya maka rancangan kita tak akan ke mana. Namun sebagai manusia kita di suruh berusaha mencapai apa sahaja keinginan asal sahaja tidak menyimpang dari suruhanNya…

Wednesday, July 21, 2010

POLIGAMI BAGIKU........

POLIGAMI…..HMMMMM…..

Dalam menyentuh bab berpoligami aku seringkali dilabelkan sebagai penentang poligami. Hakikatnya…hanya aku yang tahu..dan aku ingin berkongsi dengan pembaca blogku…

Dari pembacaan yang aku buat…poligami bukanlah suatu prinsip yang wajib dilaksanakan di dalam syariah Islam sehingga boleh menyebabkan berdosa jika tidak mengamalkannya. Poligami merupakan perkara harus dan satu (Rukhsah )atau keringanan dalam keadaan darurat.(berkahwin dengan wanita muda, seksi, adakah darurat? Hmmmmmmm…. Jelasnya ia bukanlah bermaksud perintah bukan sunat apatah lagi wajib dilaksanakan.

Dalam keadaan hidup sekarang, kaum lelaki berlumba-lumba mempertahankan keharusan yang tidak sunat dan tidak diwajibkan ini tanpa sebarang alasan munasabah. Padahal…berapa banyak amalan wajib yang ditinggalkan? Berapa banyak pula amalan haram (berdosa), maksiat yang dilakukan? Berapa banyak pula amalan sunat dipraktikkan…aku berpendapat, jika seorang lelaki mencintainya isterinya sepenuh hati, pastinya dia boleh MEMILIH untuk tidak berpoligami demi tidak melukai hati wanita yang sangat dicintainya…memandangkan ia hanyalah perkara HARUS bukan sunat dan bukan Wajib.

Jika ada keinginan untuk berpoligami mungkin si suami boleh duduk berfikir bukan sekali tapi beratus mahupun beribu kali kenapa perlu ia memilih perkara harus itu…kalau ia akan melukakan hati isterinya..kalau bakal memporak porandakan mahligai bahagia yang telah lama dibina…kalau bakal merenggangkan kasih sayang anak-anak dari bapanya..kalau tidak boleh berlaku adilnya..dan kalau..kalau…bermacam lagi. Mungkin jawapannya untuk mencari bahagia..tapi bahagia itu belum pasti. Bagaimana dengan menghancurkan kebahagiaan yang sedia ada? Apakah itu membahagiakan bagi seseorang lelaki? Fikirkanlah…Bahkan jika diamati ia boleh membawa kepada suatu tegahan dan haram hukumnya jika suami yang berpoligami tidak berupaya berlaku adil dan mengakibatkan penganiayaan terhadap isteri yang dikahwini.

Sekadar memetik beberapa syarat berpoligami menurut Islam:
Berkemampuan untuk menangggung nafkaf batin dan zahir isteri2nya
Berlaku adil kepada isteri2nya dalam bab perbuatan, tutur kata, akhlak, penempatan, giliran bermalam dan lain2

Dalam Islam yang begitu indah dan lengkap ini, tuntutan berpoligami dibolehkan dengan bersyarat dan dalam keadaan tertentu seperti:

Kemandulan
Bukan beerti tidak mengandung 5,6 tahun dah kena kawin lagi. Maksudnya isteri telah disahkan memang mandul oleh Dr yang bertauliah…Walaupun begitu..suka diingatkan…apakah dia mahu menjadi mandul..menjadi mandul sudah cukup menyiksakan harapan aku janganlah lagi ditambah penderitaan isteri malang ini dengan menduakannya.. entahlah itu Cuma pendapat aku..….

Keuzuran jasmani….sakit dan sebagainya sehingga tidak dapat menjalankan tugas sebagai seorang isteri….tapi sekali lagi…janganlah ditambahkan penderitaan isteri yang dikahwini dgn perasaan cinta untuk sehidup semati bersama..tapi bila isteri sakit mulalah…fikiran menerawang entah ke mana…dalam hal ini..mungkin ego seorang lelaki boleh kita turunkan sejenak..fikirkanlah..jika suami yang sakit…apa perasaan suami jika isteri mohon cerai (kerana perempuan tidak boleh berpoligami)..tentu peritkan?

Persoalannya apakah syarat-syarat ini boleh diikuti….hakikatnya…aku bukan bertujuan mengharamkan poligami kerana mengharamkannya adalah bertentangan dengan hukum syarak…Cuma sekali-kali aku tidak ingin perkara HARUS (BUKAN WAJIB DAN BUKAN SUNAT ini terjadi kepadaku…..dan semoga kaum lelaki tidak menyalahgunakan hukum ini dengan sewenang-wenangnya mengikut hawa nafsu…..takut nanti kebahagian yang dikejar tak dapat…kebahagian yang digendong berciciran….


Alhamdullillah...aku dianugerahkan dengan seorang suami yang sangat memahami hati isterinya ini. Akhir kata….semoga mahligai bahagia yang kita bina akan berkekalan hendaknya…..

Wednesday, June 16, 2010

Tips Mendapat Anak Comel dan Cerdas

Minggu ini gembira rasa hati sebab adik kesayangan telah disahkan hamil 2 bulan. Emm..tak lama lagi dapatlah anak buah yang pertama.......tak sabar rasanya...hari ini rasa nak mencoret sedikit diblog ni.

Sering kali kita perhatikan dalam masyarakat kita ada anak-anak yang dilahirkan oleh ibu bapa yang biasa-biasa tetapi mendapat anak yang sangat comel, berkulit cerah dan cerdas serta aktif atau sekurang-kurangnya mempunyai pembawakan disukai orang. Adapula yang ibu bapa yang sangat cantik dan kacak tetapi memperolehi anak-anak yang kurang dari segala segi. Sedih bukan? Ia saya akui ini adalah ketentuan Allah SubhanahuWataala dalam menentukan segala-galanya. Tapi jangan dilupa Alquran dibekalkan kepada kita sebagai penunjuk jalan dan sebagai rujukan usaha-usaha yang boleh dilakukan untuk memperolehi anak seperti yang diidam-idamkan

Dengan itu timbullah banyak amalan2, zikir2 serta surah2 yang bagus untuk diamalkan semasa mengandung, antaranya:

  • Surah Yusuf - untuk anak yang cantik rupa dan akhlak
  • Surah Luqman – untuk anak yang cerdik
  • Surah Yaasin – untuk anak yang teguh hati dan tidak terpengaruh dengan maksiat
  • Surah Maryam – untuk memudahkan bersalin
  • Surah al-Hujurat – untuk membanyakkan susu ibu
  • dan bermacam-macam doa yang boleh diperolehi dalam buku2 doa.

Tips yang saya amalkan:

1. Membaca AlQuran terutamanya surah Yusuff

saya memang sentiasa mengamalkan amalan membaca AlQuran sekurang-kurang nya satu helaian lembaran AlQuran setiap hari atau setidak-tidaknya jika tidak sempat, saya mengamalkan membaca pelbagai surah pendek ketika memandu ke tempat kerja. Sejam memandu banyak kali juga dapat saya baca. Al-Quran adalah Syifaa. Yang paling penting, bacalah surah Yusuff setiap hari walaupun sehari sehelai sekurang-kurangnya. Jangan langsung ditinggalkan amalan ini. Bagi saya Surah Yusuff sangat lengkap pakejnya. Jika berkelapangan, bolehlah membaca surah-surah di atas juga.

2. Memasang CD dan Siaran radio Islamic

Ketika mengandung saya telah menukar siaran radio kepada IKIM fm atau berselang seli dengan memasang CD Ayat2 AlQuran. Ini bagus untuk mendedahkan bayi dalam kandungan dengan ayat2 suci dan alunan nasihat2 yang berguna

3. Melakukan Sunat Hajat di samping sembahyang 5 waktu

Saya akan melakukan solat hajat sekurang-kurangnya sekali sehari memohon dipermudahkan sepanjang kandungan dan kelahiran serta mengurniakan anak yang comel, putih(saya memang taksub nak anak putih) dan pintar

3. Memandang benda yang cantik

Jika ada benda-benda menjijikkan, buruk dan tidak cantik, saya seboleh-bolehnya elakkan mata saya dari memandangnya. Jika benda itu cantik, bersih barulah saya memandang puas-puas..

4. Menjaga makanan

Saya tahu ramai yang tidak bersetuju jika saya katakan saya tak berani makan kicap, kopi dan benda2 berwarna hitam. Mungkin ia tiada kaitan dengan warna kulit anak, tapi entahlah..setiap kali nak minum kopi saya jadi was2. Tapi bagus juga sekurang2nya kandungan kita bebas kafien. Selain tu saya selalu makan benda-benda baik seperti yang disunnahkan seperti kurma, delima, kismis, zaitun dan semua jenis buah-buahan (paling suka limau sunkist)

5. Menjaga Lidah, sikap

Semasa mengandung juga digalakkan menjaga lidah, menjaga sikap, menjaga perangai, menjaga hati dan sebagainya terutama dengan suami, ibu bapa dan kawan-kawan agar anak yang dikandung beroleh segala kebaikan dan keberkatan. Alhamdullah suami banyak mengamalkan amalan sunat, mengaji, bersedekah, bersabar dengan saya dan sentiasa tenang. Jangan sesekali menganiaya binatang walaupun ada orang yang hobinya memancing. Takut2 ikan yang dipancing kesakitan. Lainlah jika ia memang mendapat sumber rezeki dari itu sahaja. Jika tidak tak perlulah.

6. Memohon ampun dan maaf kepada suami 2 kali sehali

Memandangkan saya berjauhan dengan ibu-bapa, saya hanya menelefon emak setiap hari dan memohon ampun bila setiap kali bertemu. Selain ibu bapa, saya akan memeluk dan mencium suami sambil mohon ampun pagi sebelum pergi kerja dan sebelum tidur malam harinya. (Jika tidak mengandung saya hanya mohon maaf sekali sehari diwaktu pagi sahaja he..he.)


7. Sepanjang proses bersalin

Suami sentiasa ada di sisi sambil membaca Yassin, dan Alhamdullillah proses kelahiran saya begitu mudah. Lebih kurang 1 jam bermula sakit dan bersalin (itupun saya mampu bergurau dengan suami) Walaupun saya merasai bagaimana hebatnya sakit bersalin, tapi hanya sekejap sahaja. Saya tak dapat gambarkan kawan-kawan yang mengalami sakit hingga 2-3 hari..Adusss.. Mungkin sebab itulah Allah berikan nikmat syahid kepada ibu yang meninggal semasa melahirkan anak. Bukan saja pengorbanan sakit melahirkan, tapi juga banyaknya amalan semasa mengandung.

Itulah serba sedikit yang saya dan suami amalkan, dan Alhamdullillah(dengan Izin Allah..) dan saya bersyukur sangat, saya dianugerahkan seorang putera yang sangat comel dan kacak (seperti bayi lelaki impian saya) dan seorang puteri yang sangat comel dan cerdas (seperti bayi perempuan impian saya)

Kini si abang dah 7 tahun, dia sangat pintar dan mudah di ajar di sekolah rendah mahupun sekolah agama

Si adik hampir 2 tahun dah boleh bantu saya susun baju, dan mengenali pelbagai objek dan benda dengan mudah.

Dalam tulisan sebelum ini pun saya tegaskan saya bukan mahu mendabik dada tapi cuma ikhlas berkongsi amalan-amalan saya. Ini kerana ketika kecil, saya dikategorikan hitam, tidak comel. Suami pula berkulit biasa-biasa sahaja. Alhamdullillah dengan Izin Allah kedua-dua anak saya sangat cerah kulitnya...

Alhamdullilah...


Doa semasa hamil

Ya Allah, peliharalah anakku ini selama ia berada di dalam perutku, dan sihatkanlah dia, Engkau yang menyembuhkan, tidak ada penyembuhan selain penyembuhanMu, Penyembuhan yang tidak meninggalkan penyakit. Ya Allah, rupakanlah atau bentukkanlah dia yang ada diperutku dengan rupa yang baik dan tetapkanlah di dalam hatinya iman kepada Engkau dan kepada RasulMu. Ya Allah, keluarkanlah dia dari perutku dengan mudah dan selamat. Ya Allah jadikanlah dia sihat yang sempurna berakal dan pandai, alim dan beramal. Ya Allah, panjangkanlah umurnya, sihatkanlah badannya, baikkanlah akhlaknya, fasihkanlah lisannya, baguskanlah suaranya untuk membaca Al-Quran dan hadis dengan berkat Nabi Muhammad S.A.W, dan segala puji bagi Allah Tuhan semesta alam.

Monday, May 31, 2010

10 TAHUN NAN INDAH :TIP KEBAHAGIAAN RUMAH TANGGA:

Entah kenapa hari ini rasa nak menulis pula tentang alam perkahwinan. Walaupun baru 10 tahun mendirikan rumah tangga dengan suami tercinta namun kebahagiaan yang diberi oleh suami boleh diibaratkan seperti baru semalam diri bergelar isteri...entahlah mungkin berkat mengamalkan beberapa tips kebahagiaan yang diperolehi daripada pelbagai buku dan majalah, tidak kurang juga dari internet dan pesan orang tua-tua. Apabila mendengar keluhan kawan-kawan yang mempunyai pelbagai masalah dalam perkahwinan, terasa ingin memberi nasihat tapi takut pula dikatakan orang..alah..baru 10 tahun kahwin dah nak tunjuk lagak...jadi aku pendamkan saja. Bukan bertujuan mendabik dada..ini hanyalah sekadar perkongsian. Yang baik jadikan teladan yang buruk jangan pula diamalkan. Apa yang penting sentiasa berdoa supaya setiap masa rumah tangga dilimpahi "nur" dan rahmat Allah....

Berikut beberapa tips yang saya amalkan

1. Selalu memberi pujian terhadap pasangan. Suami memuji isteri dan isteri memuji suami. Ingatlah bahawa insan yang Allah ciptakan untuk kita adalah yang terbaik buat kita. Dialah pelengkap kekurangan kita.

2. Memeluk suami dengan penuh kasih dan sayang.Bukan hanya untuk tujuan S.. sahaja tapi pada bila2 masa sahaja. Sambil menonton tv, sebelum keluar bekerja, kembali dari kerja dan lain2 lagi kerap lagi baik. Belai dengan penuh kasih sayang..tidak keterlaluan jika menganggap suami seperti seorang bayi yang selalu mahu dimanja dan dibelai.

3. Menghantar SMS atau nota-nota cinta sekurang-kurangnya 5 kali sehari

4. Menghantar kad hari raya, hari jadi, ulangtahun perkahwinan menggunakan cara lama iaitu kad sebenar dan bukannnya virtual kad. Setiap tahun saya akan menerima sekurang2 5 kad belum termasuk jika saya mencapai apa-apa kejayaan, bersalin atau bersedih (kerana benda-benda yang tidak berkaitan rumah-tangga)

5. Menganggap suami adalah sahabat baik, yang boleh berbincang tentang apa sahaja termasuk fesyen, masakan dan apa sahaja dan saya juga bersedia mendengar suami bercerita tentang apa sahaja termasuk bola, kereta dan rakan-rakan sekerjanya. Apa yang saya amalkan apabila ada sedikit pertengkaran kecil, kami akan cepat-cepat menyelesaikannya dengan cara saya menghantar emel kepadanya kononnya dia adalah 'sahabat' baik saya dengan nama yang berbeza. Saya akan luahkan apa sahaja ketidak puasan hati saya di dalam emel atau SMS saya. Hasilnya dia akan membalas emel berkenaan. Kononnya dia adalah kawan saya yang telah berbincang dengan suami saya dan akhirnya setiap persoalan dapat diselasaikan dengan gembira.

6. Bertolak ansur dengannya. Pastinya dalam keadaan kedua dua kami yang sebok dengan kerjaya masing-masing ditambah dengan 2 orang anak yang sedang membesar dan tanpa pembantu rumah..pastinya persefahaman amat penting. Jika ada yang hilang ' mood' salah seorang akan menimbulkan kembali suasana ceria dengan pelbagai joke yang menyenangkan. Cuba untuk berfikir positif...suami hanyalah seorang manusia dan tidak sempurna...Apa yang saya amalkan jika ada yang tidak menyenangkan hati..saya akan mengira 1 hingga 10. Dalam 10 jika ada 2 keburukan dan 8 kebaikan...saya akan cepat2 hilangkan 2 keburukan itu dan fikirkan tentang 8 kebaikannya....

7. Selain itu kami turut menjaga pergaulan masing2 supaya tiada yang terguris hati atau terasa cemburu dengan pergaulan bersama rakan2 berlainan jantina.

8. Mengadakan waktu untuk bersama tanpa gangguan anak2. Contohnya mengambil sehari cuti dalam sebulan untuk sekadar berjalan di Shopping complex sambil berpegangan tangan, menonton wayang dan duduk berdua-duaan di taman bunga sambil berbual kosong. Sebagai isteri, saya selalu bersifat manja ketika bersama suami

9. Berpenampilan menarik. Saya akan pastikan saya sentiasa jelita, berbau harum dan kelihatan menarik pada mata suami. Saya menjaga penampilan diri agar suami sentiasa merasa yang saya adalah gadis yang dicintainya dahulu ketika di zaman universiti. Malah jika diikutkan sekarang lebih bebas bergaya kerana dia telah menjadi suami kita..dan boleh cuba berpakaian seksi sekali sekala ketika di rumah.

10. Menjaga penampilan dan maruah suami. Saya akan pastikan suami sentiasa berpakaian kemas kadangkala sedondon dengan saya dan anak2. Saya sisirkan rambutnya dan meletakkan deodoran dan minyak wangi padanya. Saya tidak pernah bercerita yang kurang enak tentang suami walaupun pada ibu sendiri. Saya juga akan mencari ubannya (ada sedikit) yang sentiasa melemparkan senyuman walau dalam apa keadaaan sekalipun

11. Memasak makanan kegemarannya. Walaupun sibuk, saya akan cuba memasak makanan kegemaran suami pada waktu mana sekalipun dia mahu makan.

12. Memastikan tempat peraduan yang sentiasa bersih, sejuk dan wangi. (saya suka membeli cadar dan menukarnya setiap minggu)

13 Selain itu ialah doa kepada Allah supaya merapatkan kasih sayang antara pasangan suami isteri serta dijauhi daripada godaan dari orang ketiga dan dugaan yang boleh memecahbelahkan kasih sayang kami suami isteri

Ust. Siti Nur Bahyah juga menurunkan beberapa amalan doa selepas solat yang boleh merapatkan hubungan dan menimbulkan kasih sayang antara suami isteri iaitu membaca surah Al-Imran ayat ke-31 atau membacakan ayat ke-200 surah sama.

Beliau berkata, kunci kebahagiaan rumah tangga yang sebenar ialah mendekatkan diri dengan Allah.

Katanya, apabila seseorang insan mengabaikan tanggungjawab terhadap agama, dia akan mengabaikan rumah tangga kerana jiwa yang kosong.

"Ketika kita jauh daripada Allah, iblis yang suka umat manusia bercerai berai akan menghampiri dan melalaikan kita daripada tanggungjawab terhadap keluarga," katanya.

Banyak lagi tip2 yang ingin saya kongsikan...mungkin di lain masa. Seperti yang saya katakan tadi, bukanlah niat saya untuk mendabik dada..ia sekadar perkongsian ikhlas kepada mereka yang akan dan baharu melayari bahtera rumah tangga. Harapan saya semoga jodoh kita semua berkekalan sehingga ke anak cucu. Alhamdullilah, saya dianugerahkan Allah dengan seorang suami yang sangat penyayang, baik hati, romantik, dan berbaik sangka. Mungkin ciri2 yang ada padanya juga yang membantu saya melayari kehidupan berumah tangga kami selama 10 tahun ini....10 tahun nan indah....

Sunday, April 11, 2010