Tuesday, September 28, 2010

Amalan sunat lahirkan anak cemerlang

Mereka yang berkahwin ingin mendapat cahaya mata sempurna.Anak itu apabila dewasa kelak diharapkan menjadi insan berguna kepada agama,bangsa dan Negara.Oleh itu, anak sebagai anugerah Allah kepada pasangan suami isteri hendaklah diberikan perhatian dan kasih sayang serta bimbingan sewajarnya.

Anak juga satu amanah dan ujian daripada Allah kepada mereka yang dikurniakan harta benda atau anak. Allah akan menyediakan pahala besar kepada orang yang mematuhi perintah-NYA dan mengutamakan lebih daripada harta benda dan anak yang dikasihi itu. Hal ini seperti firman-NYA bermaksud:”Kekayaan harta benda dan anak-pinak itu adalah perhiasan hidup di dunia.”(Surah Al-Kahfi,ayat 46)

Firman ALLAH lagi bermaksud:” Dan DIAlah yang menjadikan kamu khalifah di bumi dan meninggikan sesetengah kamu atas sesetengahnya yang lain beberapa darjat,kerana ALLAH hendak menguji kamu pada apa yang telah dikurniakan-NYA kepada kamu.”(Surah Al-Anam,ayat 165).

Bagaimanapun, janganlah dijadikan harta kekayaan dan anak itu untuk kesenangan dan perhiasan dunia semata-mata.Kita hendaklah berjaga-jaga dan menjadikannya sebagai jalan bagi menerbitkan amal soleh yang kekal faedahnya.Ia untuk kesenangan dan kebahagian di dunia dan akhirat.

Bagaimana hendak mendapatkan anak soleh serta cemerlang di dunia dan akhirat.Islam ada menunjukkan caranya sejak dari ibu itu mengandungkan anaknya.

Ketika mengandung ,ibu banyak mengalami perubahan emosi dan fizikal.Oleh itu,banyak amalan sunat yang boleh dilakukan ketika mengandung.

Anak itu mesti di tarbiah sejak masih janin atau dalam kandungan.Tingkah laku ibu bapa yang baik ketika hamil adalah pendidikan awal kepada anaknya.

Antara amalan yang sunnah ketika hamil adalah memperbanyakkan membaca ayat Al-Quran dan berdoa.Hal ini seperti diriwayatkan Ibnu Sunni daripada Fatimah yang maksudnya:”Sesungguhnya Rasullullah saw apabila (Fatimah)hampir melahirkan,memerintahkan Ummu Salamah dan Zainab binti Jahsyin menghampiri Fatimah.Maka Baginda membaca ayat al-Kursi dan surah al-‘Araf(ayat 54) di sisi Fatimah dan memohon perlindungan kepada Allah dengan membaca surah Al-Falaq dan An-Nas”.

Doa yang sunat dibaca ketika hamil termasuk doa Nabi Yunus yang tafsirnya:”Sesungguhnya tiada Tuhan(yang dapat menolong)melainkan engkau YA ALLAH.Maha Suci engkau(daripada melakukan anianya,tolonglah aku!)Sesungguhnya aku adalah daripada orang yang menganiaya diri sendiri.”(surah al-Anbiya’,ayat 87)

Bagi ibu yang sukar bersalin,Ibnu Abbas meriwayatkan Rasullullah bersabda bermaksud:”Apabila seseorang perempuan itu sukar bersalin,tuliskan dalam bekas surah al-Ahqab(ayat 35) dan surah al-Nazi’at (ayat 46),kemudian air itu disapukan di perut dan kemaluannya.:(Hadis riwayat Ibnu Sunni)

Islam juga menggariskan cara yang sebaik-baiknya menyambut kelahiran anak.Antaranya memberikan ucapan tahniah dan gembira di atas kelahiran anak itu,menyerukan azan dan iqamah,mencukur rambut,memberi nama dan melakukan akikah.

Seseorang perempuan yang selesai melahirkan anak mempunyai kewajipan tertentu iaitu mandi kerana nifas.

Ulamak berijmak mengatakan bahawa wajib mandi dengan sebab keluar darah nifas.Termasuk dalam perkara yang mewajibkan mandi adalah wiladah iaitu mandi kerana beranak sekalipun melahirkan tanpa basah(darah).

Begitu juga bagi perempuan yang mengalami keguguran anak,tidak terkecuali daripada kewajipan mandi, sama ada keguguran itu berupa darah beku(‘alaqah) atau hanya berbentuk seketul daging (mudhghah).

Bagi sebilangan perempuan yang terpaksa menjalani pembedahan perut untuk mengeluarkan anak ,maka dikategorikan hal yang sedemikian itu sebagai wiladah.Maka wajib ke atas perempuan itu mandi.

Perlu diingat.mandi kerana beranak dan mandi kerana nifas mempunyai perbezaan.

Bagi mengelak kekeliruan,maka darah nifas adalah darah yang keluar dari rahim perempuan selepas melahirkan anak sekalipun hanya setitik.Bermulanya darah nifas itu keluar sebelum berlalu 15 hari setelah seseorang perempuan melahirkan anak.Jika darah itu tidak keluar melainkan selepas berlalu masa selama 15 hari atau lebih,maka darah yang keluar itu tidak dikatakan nifas.Ia adalah darah haid.Maka dalam hal ini perempuan itu diwajibkan mandi kerana nifas.

Mandi kerana wiladah adalah apabila seorang perempuan itu melahirkan anak atau mengalami keguguran anak sekalipun hanya ‘alaqah atau hanya mudhghah.Maka wajib bagi perempuan itu mandi kerana wiladah selepas kelahiran atau keguguran seperti yang disebutkan di atas.

Maka apabila seorang perempuan melahirkan anak,dia wajib mandi kerana wiladah.Wajib juga ke atasnya mandi nifas selepas berhenti darahnya atau habis tempoh masa yang sederhana iaitu 40 hari 40 malam atau masa paling maksimum selama 60 hari 60 malam.

Pintu yang digunakan syaitan mengikut Iman Al-Syafie

Pintu yang digunakan syaitan mengikut Iman Al-Syafie

• Perasaan marah

• Nafsu syahwat

• Perasaan tamak dan dengki

• Kenyang

• Cinta kepada perhiasan dan harta benda

• Bergantung kepada manusia

• Gopoh gapah dan terburu nafsu

• Cinta kepada wang ringgit dan emas

• Kedekut dan bakhil

• Fanatik mazhab dan kelompok

• Berfikir berkenaan zat,sifat dan af’al atau perbuatan Allah tanpa ilmu

• Mudah berburuk sangka terhadap orang Islam.

TIGA TANDA ORANG BERHASAD DENGKI

Luqman Al-Hakim ada memberi nasihat panjang Luqman anaknya yang diriwayatkan oleh Al-Muharbi,daripada Sufyan Ats-Thaury.Antara kata-kata hikmahnya adalah:

“Hai anakku!Janganlah engkau letakkan kebaikanmu itu, kecuali di sisi penjaganya.Hal ini seperti tidak ada persahabatan antara kambing biri-biri dan serigala. Begitu jugalah tidak ada persahabatan antara orang yang baik dan yang jahat.”

“Hai anakku!Jadilah engkau hamba kepada orang yang baik dan janganlah engkau jadi sahabat kepada orang yang jahat.”

“Hai anakku!Jadilah engkau orang kaya,nescaya engkau menjadi orang yang dipercayai.”

“Hai anakku!Janganlah engkau meminta sesuatu perkara dari belakang dan janganlah engkau menolaknya dari depan.Hal ini kerana yang demikian itu akan memperlekehkan pandangan dan mencela akal fikiranmu.”

“Hai anakku!Sekiranya engkau beradab walaupun sedikit,engkau akan peroleh faedah yang banyak.”

“Hai anakku!Lakukanlah kebaikan itu untuk ahlinya dan janganlah engkau meletakkannya pada yang bukan ahlinya,nescaya engkau akan rugi di dunia ini dan mengharamkan pahalanya di akhirat kelak.”

“Jadilah engkau orang yang bersederhana dan janganlah boros.Juga janganlah engkau memegang harta dengan kedekut dan janganlah memberinya dengan boros”

“Hai anakku!Lazimilah dirimu dengan hikmah,nescaya engkau akan memuliakan dengannya kerana tuan bagi akhlak hikmah adalah agama ALLAH”

Luqman berkata lagi:

“Hai anakku!Ada tiga tanda bagi orang yang berhasad dengki itu.Dia akan mengumpat sahabatnya apabila kawannya tiada,akan memujuk apabila dia melihat dan akan bergembira dengan musibah yang menimpa sahabatnya.”

Beliau juga berpesan:

“Hai anakku!Barang siapa yang memikul sesuatu yang dia tidak terdaya,dia akan menjadi lemah dan barang siapa yang berasa kagum dengan dirinya sendiri akan binasa.Dan barang siapa yang bersikap takbur serta menyombong diri terhadap manusia akan menjadi hina”

Seterusnya katanya:

“Hai anakku!Janganlah engkau bergaul dengan orang yang bodoh.Walaupun dia memiliki rupa yang iondah,namun dia seperti pedang,baik pemandangannya tetapi amat buruk kesannya.”

“Hai anakku!Berwaspadalah engkau dari sahabat yang jahat kerana sesungguhnya dia umpama pedang yang dihunuskan (dari sarungnya).Pandangannya mengagumkanmu sedangkan kesannya amat buruk.”

Dalam kitab Bahjatul Majalis,Luqman berkata kepada anaknya:

“Hai anakku!Merendah dirilah engaku dengan kebenaran,nescaya engkau menjadi manusia yang paling berakal.”

“Hai anakku!Barang siapa yang terlalai dalam permusuhan, dia akan dimusuhi dan barang siapa yang melampau dalamnya,dia telah berdosa.Maka,berkatalah dengan yang hak walaupun ia terkena dirimu dan janganlah engkau peduli orang yang marah.”

“Hai anakku!Janganlah engkau bertengkar dengan orang yang bijaksana serta janganlah engkau bermujadalah dengan orang yang gagap.Juga janganlah engkau bergaul dengan orang yang zalim serta janganlah engkau bersahabat dengan orang yang tertuduh.”

Renungkanlah...

Belajar Redha

Belajar Redha Dengan Ketentuan Nya

Pernahkah kita suatu saat berdepan dengan tekanan dalam perkerjaan, mahupun hal2 peribadi kita seringkali mengeluh..dan memikirkan yang kita telah membuat pilihan yang salah dalam kehidupan? Kalaulah aku memilih B, tentu akan jadi begini..kalau aku berbuat begitu tentu begitu jadinya..Contohnya saya sendiri..pernah terbit di dalam hati suatu perasaan tidak gembira dengan pekerjaan saya sebagai penerbit. Jika diikutkan pekerjaan ini sangat tidak sesuai dengan jiwa saya sebagai seorang wanita yang sangat mementingkan suami dan anak2. Saya pernah mendapat tawaran memasuki Maktab Perguruan 15 tahun lalu tapi saya tolak semata-mata untuk meneruskan pelajaran dalam bidang komunikasi. Dan sekarang saya telah menjadi seorang penerbit rancangan. Walaupun berada di tempat yang saya suka, saya sentiasa terfikir bagaimana jika saya dinaikkan pangkat dan dihantar ke tempat yang tidak sesuai dengan keadaan jiwa saya yang sensitif dan sangat mementingkan keluarga ini. Saya telah berusaha memohon untuk bertukar jawatan yang lebih sesuai dengan jiwa tapi masih belum ada rezeki…Akhirnya saya mengambil keputusan untuk berbalik kepada Takdir dan Redha sahaja dengan ketentuannya….Saya beroleh ketenangan yang sangat luar biasa. Di sini saya ingin berkongsi sedikit bahan berguna yang boleh dijadikan panduan ketika kita ditimpa musibah dan merasa kita telah membuat pilihan yang salah.

Redha
Perintah redha menerima ketentuan nasib daripada Allah s.w.t. dijelaskan didalam hadis Baginda yang bermaksud :

" Dan jika sesuatu kesusahan mengenaimu janganlah engkau berkata : jika aku telah berbuat begini dan begitu, begini dan begitulah jadinya. Melainkan hendaklah kamu katakan : Allah telah mentaqdirkan dan apa yang ia suka , ia perbuat ! " Kerana sesungguhnya perkataan : andaikata... itu memberi peluang pada syaitan " . (Riwayat Muslim)

Sifat redha adalah daripada sifat makrifah dan mahabbah kepada Allah s.w.t.
Pengertian redha ialah menerima dengan rasa senang dengan apa yang diberikan oleh Allah s.w.t. baik berupa peraturan ( hukum ) mahupun qada' atau sesuatu ketentuan daripada Allah s.w.t.

Sikap redha dengan mengucapkan puji dan syukur kepada Allah s.w.t. Ketika mendapat kesenangan atau sesuatu yang tidak menyenangkan bersandar kepada dua pengertian :

Pertama : Bertitik tolak dari pengertian bahawa sesungguhnya Allah s.w.t. memastikan terjadinya hal itu sebagai yang layak bagi Dirinya kerana bagi Dialah sebaik-baik Pencipta. Dialah Yang Maha Bijaksana atas segala sesuatu.

Kedua : Bersandar kepada pengertian bahawa ketentuan dan pilihan Allah s.w.t. itulah yang paling baik , dibandingkan dengan pilihan dan kehendak peribadi yang berkaitan dengan diri sendiri.

Redha terhadap Allah s.w.t terbahagi kepada dua :
• Redha menerima peraturan ( hukum ) Allah s.w.t. yang dibebankan kepada
manusia.

• Redha menerima ketentuan Allah s.w.t. tentang nasib yang mengenai diri.

Redha Menerima hukum Allah s.w.t. :

Redha menerima hukum-hukum Allah s.w.t. adalah merupakan manifestasi daripada kesempurnaan iman, kemuliaan taqwa dan kepatuhan kepada Allah s.w.t. kerana menerima peraturan-peraturan itu dengan segala senang hati dan tidak merasa terpaksa atau dipaksa.

Merasa tunduk dan patuh dengan segala kelapangan dada bahkan dengan gembira dan senang menerima syariat yang digariskan oleh Allah s.w.t. dan Rasulnya adalah memancar dari mahabbah kerana cinta kepada Allah s.w.t. dan inilah tanda keimanan yang murni serta tulus ikhlas kepadaNya.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :
" Tetapi tidak ! Demi Tuhanmu, mereka tidak dipandang beriman hingga mereka menjadikanmu ( Muhammad ) hakim dalam apa yang mereka perselisihkan di antara mereka, kemudian mereka tidak merasa sempit dalam hati mereka tentang apa yang engkau putuskan serta mereka menyerah dengan bersungguh - sungguh ". ( Surah An-Nisaa' : Ayat 65 )

Dan firman Allah s.w.t yang bermaksud :
" Dan alangkah baiknya jika mereka redha dengan apa yang Allah dan Rasulnya berikan kepada mereka sambil mereka berkata : ' Cukuplah Allah bagi kami , Ia dan Rasulnya akan berikan pada kami kurnianya ,Sesungguhnya pada Allah kami menuju ".
( Surah At Taubah : Ayat 59 )

Pada dasarnya segala perintah-perintah Allah s.w.t. baik yang wajib mahupun yang Sunnah ,hendaklah dikerjakan dengan senang hati dan redha. Demikian juga dengan larangan-larangan Allah s.w.t. hendaklah dijauhi dengan lapang dada .
Itulah sifat redha dengan hukum-hukum Allah s.w.t. Redha itu bertentangan dengan sifat dan sikap orang-orang munafik atau kafir yang benci dan sempit dadanya menerima hukum-hukum Allah s.w.t.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :
" Yang demikian itu kerana sesungguhnya mereka ( yang munafik ) berkata kepada orang-orang yang di benci terhadap apa-apa yang diturunkan oleh Allah s.w.t. 'Kami akan tuntut kamu dalam sebahagian urusan kamu ',Tetapi Allah mengetahui rahsia mereka ". ( Surah Muhammad : Ayat 26 )

Andaikata mereka ikut beribadah, bersedekah atau mengerjakan sembahyang maka ibadah itu mereka melakukannya dengan tidak redha dan bersifat pura-pura. Demikianlah gambaran perbandingan antara hati yang penuh redha dan yang tidak redha menerima hukum Allah s.w.t. , yang mana hati yang redha itu adalah buah daripada kemurnian iman dan yang tidak redha itu adalah gejala nifaq.

Redha Dengan Qada' :

Redha dengan qada' iaitu merasa menerima ketentuan nasib yang telah ditentukan Allah s.w.t baik berupa nikmat mahupun berupa musibah ( malapetaka ). Didalam hadis diungkapkan bahawa di antara orang yang pertama memasuki syurga ialah mereka yang suka memuji Allah s.w.t. . iaitu mereka memuji Allah ( bertahmid ) baik dalam keadaan yang susah mahupun di dalam keadaan senang.

Diberitakan Rasulullah s.a.w. apabila memperolehi kegembiraan Baginda berkata :
" Segala puji bagi Allah yang dengan nikmatnya menjadi sempurnalah kebaikan ".

Dan apabila kedatangan perkara yang tidak menyenangkan , Baginda mengucapkan :
" Segala puji bagi Allah atas segala perkara ".

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :

" Demi Allah yang jiwaku ditangannya !Tidaklah Allah memutuskan sesuatu ketentuan bagi seorang mukmin melainkan mengandungi kebaikan baginya. Dan tiadalah kebaikan itu kecuali bagi mukmin . Jika ia memperolehi kegembiraan dia berterima kasih bererti kebaikan baginya , dan jika ia ditimpa kesulitan dia bersabar bererti kebaikan baginya ".
( Riwayat Muslim )

Belajarlah untuk ikhlas.

Sifat ikhlas ialah menumpukan niat bagi setiap ibadah atau kerja yang dilakukan semata-mata kerana Allah s.w.t. dan diqasadkan ( niat ) untuk menjunjung perintah semata-mata serta membersihkan hati dari dosa riya’ , ujub atau inginkan pujian manusia.

Firman Allah s.w.t. di dalam Al-Quran yang bermaksud :
“ Padahal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah s.w.t. dengan mengikhlaskan ibadah kepadanya , lagi tetap teguh di atas tauhid dan supaya mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat dan yang demikian itulah agama yang benar “.
( Surah Al-Bayyinah – Ayat 5 )

Setiap pekerjaan yang dilakukan hendaklah dibersihkan daripada sesuatu tujuan yang lain daripada taat kepada perintah Allah s.w.t. Hendaklah dibersihkan niat daripada sebab-sebab yang lain dari sifat-sifat yang keji ( sifat mazmumah ) seperti riya’ , ujub , inginkan kemasyhuran dan lain-lain lagi. Dalam meninggalkan larangan Allah s.w.t. hendaklah diniatkan untuk taat semata-mata bukan kerana malu kepada makhluk atau sebagainya. ( Rujukan Kitab - Mengenal Ilmu Tasawwuf – Mohd Sulaiman bin Hj. Yasin )

Semoga kita termasuk dalam golongan yang Redha dan bersyukur di atas apa yang telah ditakdirkan ke atas kita dan tidak lagi menyesali apa yang telah menjadi pilihan Allah kepada kita. Sesungguhnya..kita hanya merancang, jika Allah tidak mengizinkannya maka rancangan kita tak akan ke mana. Namun sebagai manusia kita di suruh berusaha mencapai apa sahaja keinginan asal sahaja tidak menyimpang dari suruhanNya…